Selasa, 31 Mei 2011

KEMBALI KEPADA ALLAH SWT MELALUI TAUBAT YANG SEBENAR


Kita tidak akan mencapai kehebatan malah kita tidak akan dapat keluar dari kehinaan jika kita masih lemas dan tenggelam dalam dosa dan maksiat kita.   
Telah diriwayatkan bahawa semasa zaman Nabi Musa A.S, pada satu ketika Nabi Musa berada di sebuah negeri yang sedang mengalami musim kemarau yang sangat serius.  Penduduk negeri itu telah memohon agar Nabi Musa menunaikan solat istisqa’.  Nabi Musapun melakukan solat dan berdo’a kepada Allah SWT, memohon agar Allah menurunkan hujan.  Tetapi Allah SWT tidak memakbulkan do’a itu dan tidak menurunkan hujan.  Nabi Musa berkata: “Ya Allah! Engkau sentiasa memakbulkan do’aku”.  Allah SWT menjawab: “Di tengah-tengah kalian terdapat seorang hamba yang telah melakukan maksiat kepada-Ku sejak 40 tahun yang lalu.  Oleh kerana itu Aku tidak menurunkan hujan.  Aku tidak akan menurunkan hujan sehingga orang tersebut keluar dari negeri kalian”.  Nabi Musa menyeru penduduk negeri tersebut: “Di antara kalian terdapat seorang yang telah berbuat maksiat kepada Allah, sehingga hujan tidak turun.  Hujan tidak akan turun hingga orang itu keluar dari negeri ini”.  
Ada seorang lelaki menyedari bahawa dialah yang dimaksudkan oleh Nabi Musa.  Ketika dia menunggu orang lain keluar, ternyata tidak ada seorangpun yang keluar.  Lelaki itupun berdo’a:  “Ya Allah! Seandainya aku keluar dari negeri ini, maka itu bererti aku telah membuka aib diriku sendiri.  Namun seandainya aku tetap tinggal di sini, maka banyak penduduk yang akan mati kehausan.  Ya Allah! Tutuplah aibku ini dan terimalah taubatku.  Mulai hari ini, aku akan bertaubat”.
Tidak lama setelah itu, hujanpun turun.  Nabi Musa berkata: “Ya Allah! Hujan telah turun padahal tidak seorangpun yang keluar dari negeri ini”.  Kemudian Allah telah memberitahu bahawa lelaki yang berbuat maksiat itu telah bertaubat.  Allah berfirman: “Hujan itu turun kerana taubat hamba-Ku, yang dulu telah berbuat maksiat kepada-Ku”.  Nabi Musa bertanya: “Ya Allah! Tunjukkanlah kepada saya siapa orang itu”.  Allah menjawab: “Aku telah menutup aibnya, apakah Aku akan membuka aibnya, padahal dia telah bertaubat”.

Marilah kita melihat riwayat di atas dengan keinsafan.  Kita telah melakukan muhasabah.  Kita sedari semua kita ada melakukan dosa.  Sama ada kita meninggalkan apa yang Allah SWT perintahkan untuk dilaksanakan atau melakukan apa yang ditegah.  Setidak-tidaknya, kita berosa kerana lalai melaksanakan tanggungjawab kita kepada umat Islam yang sedang menghadapi pelbagai kelukaan kehidupan.  
Marilah kita bertaubat kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taubat dan berazam akan berhijrah kepada kehidupan yang ‘baru’.

(KAJIAN TARBAWI Edisi FB 13122010)

Oleh:
Pengurus Hal Ehwal Pelajar (HEP)
Kolej Teknologi Darulnaim

Khamis, 26 Mei 2011

Ziarah da'wah 3 & Khidmat Masyarakat Di Kemboja



HALUAN Kelantan dan Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan dan Pejabat Mufti Kemboja telah berjaya mengadakan Ziarah Dakwah dan Khidmat Masyarakat Kemboja  pada 13 – 17 Mei yang lalu. Seramai 36 orang yang terdiri daripada ahli HALUAN Kelantan dan mahasiswa KTD menyertai rombongan tersebut yang diketuai oleh Hj Mohd Nasir Saat, YDP HALUAN Kelantan. Rombongan ini adalah memenuhi jemputan dari Mufti Kemboja, Dato’ Kamaruddin Yusof yang telah mengadakan perjumpaan bersama kepimpinan HALUAN Kelantan di Kota Bharu pada bulan Disember 2010 yang lalu.