Sabtu, 8 November 2014

Hukum Potongan Zakat Pendapatan Pada Setiap Bulan Melalui Slip Gaji


ISU:

Saya ingin mengetahui hukum potongan zakat pendapatan pada setiap bulan melalui slip gaji. Apakah ini dinamakan zakat kerana belum cukup haul iaitu 1tahun tamam yang mana kita tahu terjadinya wajib zakat itu bila cukup haul dan nisab. Mohon pencerahan.


PENJELASAN:

Zakat pendapatan merupakan salah satu jenis zakat yang dikemukakan oleh ijtihad ulama semasa. Antara ulama yang mencetuskan ijtihad zakat pendapatan ialah Syeikh 'Abdul Rahman Hasan, Muhammad Abu Zahrah, dan 'Abdul Wahhab Khallaf (al-Qaradawi, Fiqh al-Zakat, jil. 1, hlm. 489).

Gaji bulanan diistilahkan dalam fiqh zakat sebagai 'mal mustafad' iaitu harta yang baru diperolehi oleh seseorang Muslim melalui apa-apa cara atau kaedah perolehan. Menurut sebahagian ulama seperti 'Abdullah bin 'Abbas, 'Abdullah bin Mas'ud, Mu'awiyah, 'Umar bin 'Abdul 'Aziz, Hasan al-Basri, al-Zuhri, dan al-Awza'i; 'mal mustafad' wajib dikeluarkan zakat jika cukup nisab tanpa disyaratkan cukup haul. Ini disebabkan, hadis yang mensyaratkan cukup haul bagi zakat 'mal mustafad' semuanya berstatus da'if (al-Qaradawi, Fiqh al-Zakat, jil. 1, hlm. 490).

Gaji tetap yang diterima, yang jika dikira jumlahnya selama satu tahun, ia melebihi had nisab, maka zakat gaji itu boleh dibayar melalui potongan gaji bulanan.

Oleh itu, amalan potongan zakat pendapatan melalui potongan gaji bulanan adalah tidak bercanggah dengan hukum Syarak. Ia diterima sebagai salah satu kaedah membayar zakat pendapatan.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 22 Jun 1997 telah membincangkan Zakat Gaji & Pendapatan Professional. Muzakarah telah memutuskan bahawa zakat ke atas pendapatan penggajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-56 yang bersidang pada 7 May 2003 juga telah membincangkan Hukum Zakat Gaji Beserta Kadarnya. Muzakarah telah memutuskan bahawa asas pengiraan zakat gaji dan pendapatan adalah berdasarkan kepada pendapatan kasar setahun dan kadar zakat yang dikenakan ialah sebanyak 2.5% daripada jumlah pendapatan tersebut.


Wallahu A'lam.

Sumber:
http://www.e-fatwa.gov.my/blog/hukum-potongan-zakat-pendapatan-pada-setiap-bulan-melalui-slip-gaji